Thursday, 9 October 2014

BUDAYA KEUSAHAWANAN

Perkasa budaya keusahawanan

Kangar: Penganjuran Simposium Usahawan anjuran Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM), di sini, mampu meningkatkan kefahaman sekali gus menyemai dan memperkasa budaya keusahawanan kepada penduduk di negeri ini.
Program berkenaan menampilkan barisan ahli panel dan tokoh usahawan tanah air turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi melalui sesi soal jawab di samping menjalinkan rangkaian perniagaan sesama usahawan.

Usahawan, Matt Noh Kasa, 59, dari Jejawi Hutan Buloh, Arau, di sini, berkata, program berkenaan secara tidak langsung membantunya melihat peluang yang boleh direbut selain mendapatkan sumber kewangan untuk memperbesarkan lagi perniagaan hotelnya di sini.

“Program ini mengajar saya mendapatkan pekerja berkebolehan dalam industri perhotelan disebabkan pekerja sedia ada tidak membantu memajukan perniagaan dan hanya bekerja saja.

“Selain itu, saya didedahkan dengan cara pengurusan kewangan supaya keuntungan yang diperoleh tidak bocor dan simpanan dapat dibuat untuk tabungan pada masa depan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Lebih 300 peserta terdiri daripada usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera menyertai simposium anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sempena MSAM.
Penceramahnya ialah Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam; Pemilik Pasaraya Borong Sakan, Datuk Che Umar Yatim dan Pengarah Urusan Les Copaque Production, Burhanudin Md Radzi.

Katanya, penceramah juga berjaya membuka mata dan mindanya untuk berfikir secara positif dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan, bahkan membuat dirinya mahu berusaha dengan keras bagi merealisasikan impian menambah cawangan hotel.
“Pada awalnya saya berfikir program ini seperti program keusahawanan lain, tetapi rasa berbaloi kerana banyak jalan yang terbuka di hadapan bagi memantapkan lagi perniagaan, bahkan kata-kata penceramah juga memberi kesan mendalam.

Sementara itu, pengusaha makanan, Jaminah Teriau, 60, dari Kampung Guar Ujung Batu, Utan Aji, berkata, program berkenaan begitu bermanfaat pada dirinya untuk memajukan lagi perniagaan dengan membuat pengedaran terus ke pasar raya.

“Pada masa ini, saya hanya mengedarkan produk kacang bersalut pedas yang dihasilkan ke kedai runcit dan kedai makan saja kerana tidak berani mengambil risiko.

“Dengan menghadiri program ini, saya bercadang untuk memperluaskan pasaran produk dan akan berbincang dengan suami mengenai hasrat itu,” katanya.

Katanya, sejak memulakan perniagaan pada 2002, dia hanya menyediakan beberapa kilogram kacang dan bahan asas untuk seminggu, tetapi meningkat kepada 15 hingga 20 kilogram selepas menerima bantuan kerajaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22CC: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkasabudayakeusahawanan//Article/index_html

No comments:

Post a Comment