Thursday 9 October 2014

BUDAYA KEUSAHAWANAN

Perkasa budaya keusahawanan

Kangar: Penganjuran Simposium Usahawan anjuran Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM), di sini, mampu meningkatkan kefahaman sekali gus menyemai dan memperkasa budaya keusahawanan kepada penduduk di negeri ini.
Program berkenaan menampilkan barisan ahli panel dan tokoh usahawan tanah air turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi melalui sesi soal jawab di samping menjalinkan rangkaian perniagaan sesama usahawan.

Usahawan, Matt Noh Kasa, 59, dari Jejawi Hutan Buloh, Arau, di sini, berkata, program berkenaan secara tidak langsung membantunya melihat peluang yang boleh direbut selain mendapatkan sumber kewangan untuk memperbesarkan lagi perniagaan hotelnya di sini.

“Program ini mengajar saya mendapatkan pekerja berkebolehan dalam industri perhotelan disebabkan pekerja sedia ada tidak membantu memajukan perniagaan dan hanya bekerja saja.

“Selain itu, saya didedahkan dengan cara pengurusan kewangan supaya keuntungan yang diperoleh tidak bocor dan simpanan dapat dibuat untuk tabungan pada masa depan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Lebih 300 peserta terdiri daripada usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera menyertai simposium anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sempena MSAM.
Penceramahnya ialah Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam; Pemilik Pasaraya Borong Sakan, Datuk Che Umar Yatim dan Pengarah Urusan Les Copaque Production, Burhanudin Md Radzi.

Katanya, penceramah juga berjaya membuka mata dan mindanya untuk berfikir secara positif dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan, bahkan membuat dirinya mahu berusaha dengan keras bagi merealisasikan impian menambah cawangan hotel.
“Pada awalnya saya berfikir program ini seperti program keusahawanan lain, tetapi rasa berbaloi kerana banyak jalan yang terbuka di hadapan bagi memantapkan lagi perniagaan, bahkan kata-kata penceramah juga memberi kesan mendalam.

Sementara itu, pengusaha makanan, Jaminah Teriau, 60, dari Kampung Guar Ujung Batu, Utan Aji, berkata, program berkenaan begitu bermanfaat pada dirinya untuk memajukan lagi perniagaan dengan membuat pengedaran terus ke pasar raya.

“Pada masa ini, saya hanya mengedarkan produk kacang bersalut pedas yang dihasilkan ke kedai runcit dan kedai makan saja kerana tidak berani mengambil risiko.

“Dengan menghadiri program ini, saya bercadang untuk memperluaskan pasaran produk dan akan berbincang dengan suami mengenai hasrat itu,” katanya.

Katanya, sejak memulakan perniagaan pada 2002, dia hanya menyediakan beberapa kilogram kacang dan bahan asas untuk seminggu, tetapi meningkat kepada 15 hingga 20 kilogram selepas menerima bantuan kerajaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22CC: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkasabudayakeusahawanan//Article/index_html

BUDAYA KEUSAHAWAN

Pupuk budaya usahawan


Kuala Lumpur: Bumiputera yang terdiri daripada 67 peratus penduduk negara ini mesti memiliki budaya keusahawanan untuk menjayakan cita-cita Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, Malaysia tidak boleh menjadi negara maju kalau teras bangsanya tidak menjadi bangsa usahawan.

Beliau berkata, kalau dilihat secara teliti, bangsa yang maju di seluruh dunia adalah bangsa yang menerapkan semangat keusahawanan dalam masyarakat, dan bangsa Cina di negara ini boleh dijadikan contoh.

“Oleh sebab Bumiputera adalah majoriti, kumpulan ini patut ditolong supaya tidak terus ketinggalan serta meninggalkan kesan psikologi yang mendalam,” katanya.

Ahmad diminta mengulas pengumuman dasar bagi meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam ekonomi negara, esok oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, Selangor.

“Majlis akan dimulakan dengan forum membincangkan cara untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dengan Perdana Menteri mengumumkan dasar mengenai ekuiti, hartanah dan modal insan,” katanya.
Matlamat utama kerajaan adalah untuk membangunkan Bumiputera supaya mereka dapat maju ke hadapan dan mampu bersaing di dalam dan di luar negara, selain memiliki budaya usahawan yang kuat.

“Usaha ini diambil memandangkan masih terdapat Bumiputera yang ketinggalan dari pelbagai sudut walaupun kejayaan lain sudah di kecapi.
“Ini adalah satu perkara yang menarik dan sangat dinanti oleh Bumiputera di seluruh negara dan di setiap peringkat meliputi golongan pendapatan tinggi, sederhana, rendah di bandar dan luar bandar,” katanya.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata beliau menyifatkan pengumuman ini sebagai ‘hadiah’ kepada Bumiputera yang menjadi punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

Beliau berkata Najib selaku ketua parti dan kerajaan, sudah menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang memberikan sokongan memberikan pengharapan dan kerajaan tidak akan mensia-siakan pengharapan itu.

“Bumiputera wajar diberi bantuan dan yang lebih penting bantuan itu diberikan tanpa kita menarik bantuan daripada yang tidak menyokong,” katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/14cc: http://www.hmetro.com.my/articles/Pupukbudayausahawan/Article

PERBANDINGAN STRATEGI POCARI SWEAT DAN AQUA

PERBANDINGAN STRATEGI POCARI SWEAT 
DAN AQUA

Pocari Sweat ialah sejenis minuman kesihatan keluaran Jepun oleh Akihiko Otsuka, iaitu minuman isotonic yang dapat menggantikan peluh yang sudah keluar dari badan. Manakala Aqua pula ialah sejenis air mineral keluaran Indonesia oleh Tirto Utamo.

Strategi yang digunakan oleh Pocari Sweat ialah berkonsepkan rasa dijelaskan oleh Akihiko iaitu membuat minuman yang mempunyai rasa yang tidak membosankan walaupun diminum setiap hari dan terasa enak ditengkok. Manakala Aqua pula bermula dengan berkonsepkan air minuman sihat  dalam kemasan dan menciptakan konsep delivery door to door.

Apabila produk Pocari Sweat dipasarkan, ianya tidak mendapat sambutan dan reaksi pengguna sangat  buruk kerana rasa tidak enak serta peniaga juga tidak mahu menjualnya kerana produk itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh itu, Akihiko memutuskan untuk menggunakan strategi dengan membagikan Pocari Sweat secara percuma dengan jumlah yang tidak terbatas. Promosi juga dilakukan melalui memberi produk percuma di lapangan baseball anak-anak. Reaksi anak – anak pun positif. Tidak hanya membagikan secara percuma, namun jurujual juga menggunakan strategi dengan menjelaskan secara terperinci konsep dan manfaatPocari Sweat. Hal ini demikian kerana mereka berprinsip, jika pelanggan tidak diberi kesempatan mencuba percuma, mungkin mereka tak akan pernah mencuba selamanya. Selain itu, Akihiko mengatakan jangan menghitung kerugian dulu, yang penting mensosialisasikan konsep produk secara tepat daripada menjual produk. Dengan demikian nanti pengguna akan mengerti konsep Pocari sweat dan penjualan akan meningkat belakangan lanjutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa Akihiko berani mengambil risiko yang telah dihitung.

Manakala Aqua pula memulakan strategi pemasaran dengan membagi modal produk percuma kepada para peniaga hanya 3 botol sahaja. Hal ini demikian mereka mengatakan bahawa apabila produk itu laku 2 botol, hanya tinggal 1 botol sahaja dan peniaga akan membuat permintaan bekalan produk tersebut. Selain itu, Aqua juga telah menggunakan strategi penjenamaan iaitu dengan mengubah nama asal Aqua ialah Poritas, namun ditukar kepada Aqua kerana Poritas agak sukar disebut dan senang ingat. Aqua juga  membuat suatu slogan yang mudah di ingat dan di kenal masyarakat, dengan slogan “air sihat setiap saat” ini ternyata Aqua mampu melonjakkan  penjualan yang luar biasa. Inilah kekuatan sebuah slogan yang boleh memberikan kesan bagi penjualan produk. Selain itu juga, Aqua juga menggunakan strategi dengan menaja beberapa bidang olahraga untuk memperoleh populari agar Aqua lebih dikenal masyarakat luas.

Kesimpulannya, jelaslah terdapat perbezaan strategi Pocari Sweat dan Aqua. Oleh itu, Pocari Sweat dengan berkonsepkan minuman kesihatan keluaran Jepun. Manakala Aqua pula berkonsepkan air mineral keluaran Indonesia. Kedua-duanya memiliki strategi yang berlainan. Dan masing-masing memperoleh kejayaan dengan strategi yang dilaksanakan.


                            

Tuesday 23 September 2014

USAHAWAN SOSIAL

Keusahawanan sosial basmi kemiskinan
oleh SAIFUDDIN ABDULLAH

Pada 9 Ogos ini, penjawat awam menerima pembayaran bonus setengah bulan, manakala pesara kerajaan menerima bayaran khas RM500. Dalam ekonomi dunia yang lembap, keupayaan kerajaan menyediakan bonus dipuji.

Hakikat dunia menghadapi krisis ekonomi dilambangkan oleh Occupy Wall Street, masalah Greece dan Sepanyol serta Arab Spring. Orang bersuara, “ada sesuatu yang salah!”.

Dua masalah utamanya, ialah pertama, kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Ia bermula pada 2007 dan masih berlarutan. Seramai 24 juta orang menganggur. Amat sedikit pekerjaan baru disediakan. Walaupun berlaku di AS, tetapi, dek kerana ia ekonomi nombor satu dunia, maka, apabila ia bersin, negara lain pun selesema.

Kedua, ialah ketidaksaksamaan ekonomi. Dari segi penguasaan kekayaan dunia, 1 peratus daripada penduduknya menentukan nasib 99 peratus yang lain. Justeru, muncul slogan “kami 99 peratus” yang memprotes.

Kedua-dua masalah ini cuba diselesaikan kalangan pemimpin dunia di Persidangan Rio+20, Jun lalu. Tetapi, oleh kerana persidangan itu diragui kesungguhannya, maka, resolusinya hambar. Lantas, masyarakat sivil mengeluarkan resolusi alternatif yang lebih bermakna.

Masyarakat sivil berpendapat model ekonomi yang dominan yang digunakan kini gagal membebaskan banyak orang daripada kemiskinan, mencapai kesaksamaan ekonomi atau memelihara alam sekitar. Mereka mencadangkan order ekonomi baru, iaitu ekonomi mampan berasaskan komuniti di mana wujud integriti ekologikal, tanggungjawab sosial dan agihan saksama ekonomi.

Ia mengukuhkan seruan terdahulu oleh beberapa sarjana untuk mewujudkan sistem ekonomi alternatif bagi menggantikan sistem kini yang ternyata gagal. Antara yang ditonjolkan ialah, “ekonomi sosial”, “ekonomi solidariti” dan “ekonomi”. Sebenarnya, dunia memerlukan sistem ekonomi yang lebih sihat.

Pada saya, ia bermaksud: menyediakan peluang untuk semua menikmati kehidupan yang sihat, bermaruah dan bermakna; penggunaan barangan dan perkhidmatan yang berimbang dengan sistem alam; menyuburkan hubungan manusia yang berasaskan komuniti yang kukuh dan penyayang; menegakkan prinsip pasaran yang berasaskan peraturan yang baik, beretika dan manusiawi; pengagihan sumber secara berkesan dari segi kesaksamaan dan sosial; dan memenuhi ideal demokrasi, iaitu satu orang satu undi yang selari dengan kedaulatannya sebagai rakyat.

Ini menuntut transformasi tulen, bukannya sekadar penambahbaikan rutin. Di Malaysia, pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah progresif. Untuk benar-benar merealisasikan MBE, antara lain, kita perlukan pendekatan “keusahawanan sosial”, iaitu menyelesaikan masalah sosial dan alam sekitar melalui model keusahawanan.

Dalam membasmi kemiskinan, ia digunakan sebagai langkah afirmatif baru. Premisnya tidak lagi orang miskin tidak berwang. Premis barunya ialah orang miskin berwang, tetapi tidak mampu membeli barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam sampul harga kini. Sekiranya ada usahawan sosial menawarkannya dengan sampul harga lain, maka, mereka mampu membelinya.

Sektor perniagaan perlu digalakkan menukar daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada keusahawanan sosial. Contohnya, pasar raya besar yang melakukan CSR, sebenarnya, telah terlebih dahulu membenam peniaga kecil berhampirannya. Tetapi, dengan keusahawanan sosial, peniaga kecil itu dibawa membangun bersama pasar raya besar itu.

Amanah Ikhtiar Malaysia dan koperasi antara contoh keusahawanan sosial. Masyarakat sivil mempunyai banyak pengalaman dalam hal ini. Ia perlu ditingkatkan.

Saya dan sekumpulan aktivis menubuhkan Jaringan Ekonomi Masyarakat Malaysia untuk meluaskan kesedaran mengenai keusahawanan sosial; mencadangkan dasar baru kerajaan; menggalakkan partisipasi perniagaan; meningkatkan keberkesanan masyarakat sivil dan menggiatkan universiti mengajar, menyelidik dan menjalankan projek. Bersamalah mengembangkan pendekatan baru ini.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/keusahawanan-sosial-basmi-kemiskinan-1.73958

Saturday 20 September 2014

Tokoh Usahawan Berjaya: Tan Sri Tony Fernandes

TAN SRI TONY FERNANDES



Tony Fernandes yang kini berusia 48 tahun,  dilahirkan pada 30 April 1964 kepada suatu keluarga campuran Portugis  Goa(India) dan Portugis Melaka. Bapa beliau bernama  Dr. Stephen Edward Fernandes dan Ibu beliau, Ena Dorothy Fernandez.
Semasa kecil beliau kerap kali mengikuti ibunya, seorang peniaga kecil kecilan, ke majlis majlis para  peniaga tupperware. Dalam usia 13 tahun beliau  melanjutkan persekolahan di England  pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada  tahun 1987.
Beliau mulai alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.
Sekembalinya  ke Malaysia beliau dilantik sebagai pengarah urusan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd.  Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu  ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut kedalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam kumpulan ini dari 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan vice  presiden kumpulan  bagi kawasan Asia Tenggara.
Air Asia
Apa yang amat menarik tentang biografi Dato’ Tony ialah penglibatan beliau sebagai penggerak utama dalam penubuhan dan operasi  Air Asia,  syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737  yang  usang tatkala masih dimiliki kerajaan, kini kumpulan  Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001  telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang ini beroperasi nanti, ini mungkin menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia.
Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui  142 laluan dan 78 destinasi  dengan sejumlah 400 penerbangan sehari  di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011,  Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.
Jatidiri Tony Fernandes
Kejayaan luar biasa  selalunya  di hasilkan oleh seseorang yang juga  mempunyai peribadi yang luar biasa yang membantu dalam  setiap langkah  yang dilalui. Pertama  sekali ialah wujudnya minat untuk berniaga yang perlu untuk mendorong seseorang kearah itu. Dalam diri Tony Fernandes,  beliau banyak dipengaruhi oleh ibu beliau yang aktif dalam menjual tupperware ke serata tanah air. Bagi  Tony, ibu beliau adalah seorang wanita yang mengkagumkan kerana kemampuannya  yang luar biasa dalam menjual barangan   kepada sesiapa sahaja. Justeru itu beliau banyak belajar dari peribadi ibu beliau yang ternyata begitu penting dikala mengharungi  alam perniagaan.
Bapa beliau, Dr Stephen Edward Fernandes, sebaliknya amat berbeza daripada peribadi ibunya. Dr. Fernandes  memiliki sebuah klinik, tetapi tanpa keuntungan kerana terlalu bermurah  hati kepada setiap pesakit sehingga kerap kali memberi perkhidmatan dan  ubat secara percuma. Tony  sungguh tidak terpikat dengan cara cara bapa beliau berniaga.
Pada sekilas pandang memang  ada ciri ciri yang serupa  diantara  Tony dengan ayah beliau. Jika ayah beliau memberi keistimewaan kepada pesakit yang miskin, Tony juga memberi fokus kepada rakyat yang kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan biasa. Tetapi bezanya, jika ayah beliau membantu pesakit dengan tujuan mengurangkan bebanan mereka, sehingga mengorbankan keuntungan, Tonya juga membantu rakyat yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang, tetapi beliau tetap  terikat dengan prinsip perniagaan berasas keuntungan  dan lestari ( berkekalan).
Kemampuan beliau berkomunikasi, mempengaruhi orang  dan semangat yang kental amat mengkagumkan dan merupakan satu ciri yang diwarisi dari ibu beliau.  Selain itu zaman persekolahan dalam usia yang sangat muda (umur 13 tahun) di sekolah berasrama di England, juga memberi kesan yang mendalam  kepada peribadi beliau. Di sana, berjauhan dari keluarga dan kampung halaman, membentuk nilai teras  dalam peribadi beliau, terutama kemampuan berkomunikasi dan berdikari dalam apa jua suasana.
Ibu beliau meninggal sewaktu Tony hanya berusia 15 tahun meninggal kesan yang mendalam kepada beliau. Ia meninggalkan kekosongan dalam hidup dan membantu dalam membentuk peribadi yang cekal dan  mampu berdikari di mana sahaja.
Jika di lihat dari segi kecenderungan usahawan mengambil risiko, Tony adalah contoh yang amat ekstrim. Beliau adalah seorang yang nampaknya hyperactivebegitu fokus dalam melaksanakan perkara yang beliau minati, sehingga sanggup menggadai apa sahaja yang beliau miliki walaupun masih jauh daripada mencukupi sebagai modal syarikat.  Mungkin ini bukan suatu perkara yang menghairankan, jika yang diminati  itu matlamat yang biasa, tetapi untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan sudah tentu bukanlah sesuatu dalam jangkaan untuk seorang yang tidak  memiliki modal yang cukup dan hanya berbekalkan minat dan semangat yang kental.
Sungguhpun demikian adalah kurang tepat menyatakan yang Tony bersikapreckless dalam membuat sesuatu pertimbangan kerana beliau tetap mementingkan soal keuntungan. Malah beliau  amat yakin  kepada soal potensi pertumbuhan yang tinggi dalam industri penerbangan di Asia sebelum menceburi sektor tersebut.
Bagi menentukan kejayaan,   sikap beliau yang fokus  kepada sesuatu projek adalah suatu ciri yang tepat dan dapat membantu mengurangkan risiko.  Beliau berkata, ” Saya bukanlah seseorang yang suka memulakan dua puluh benda dan  kemudian berharap tiga akan berjaya. Saya lebih berminat memulakan dua atau tiga dan tentukan ia berjaya, kemudian laksanakan usaha usaha seterusnya”. Sikap ini biasa kita nampak ada pada usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Mydin, Tan Sri Azman Hashim,  Tan Sri Teh Hong Piow  di tanah air kita dan usahawan usahawan seperti pengasas Microsoft,  Apple, Facebook, Ford Motor Company, Honda Motors dan banyak lagi di arena global.
Cara cara Tony menempuhi Halangan
Kemampuan berkomunikasi timbul daripada personaliti yang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang di asah semasa belajar dan berkhidmat di England dan di Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga menunjukkan sikap minima  ego dan bersedia forgive and forget yang membolehkan beliau membuat pertimbang yang terbaik untuk syarikat dalam sesuatu waktu.  Misalnya dalam berurusan dengan Kerajaan Singapura untuk mendapat kebenaran mendarat di sana beliau telah berhadapan dengan rintangan demi rintangan  yang berlarutan, yang biasanya melunturkan semangat orang biasa. Walaupun demikian beliau masih  boleh lagi berinteraksi dengan pegawai pegawai kerajaan Singapura dengan baik, sambil  menganggap detik detik pahit yang dilalui  hanya sebagai cabaran dalam mengembangkan laluan Air Asia. Kini Air Asia mengadakan 26 penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Singapura sehari.
Sebelum itu, cabaran yang pertama beliau lalui timbul dari sikap masyarakat perniagaan Malaysia sendiri yang  bersikap sinikal terhadap rancangan beliau menubuhkan syarikat penerbangan. Perkara ini tidak melunturkan semangat beliau, malah dengan pantas, melalui Dato’ Pahamin Rajab, belia berjaya meyakinkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, untuk meluluskan rancangan beliau, mulai dengan cara mengambil alih syarikat penerbangan  Air Asia, sebuah syarikat yang nyata gagal dan dimiliki oleh kerajaan.
Setelah mulai berjaya dengan syarikat Air Asia, beliau mengalih fokus untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hub penerbangan tambang murah di rantau Asean. Beliau tahu ini satu perkara yang amat sukar diterima kerajaan kerana negara perlu mengukuhkan kedudukan KLIA yang baharu sahaja siap diketika itu. Tetapi Tony never takes no for an answer. Beliau menggunakan media massa untuk mempengaruhi masyarakat dan kerajaan. Akhirnya kerajaan bertegas menolak cadangan Air Asia demi kepentingan negara, tetapi dalam proses ini Tony berjaya mendapat laluan laluan udara yang baru serta mendapat LCCT yang baru di KLIA dengan kadar tariff yang berdiskaun. Ini  membantu Air Asia mengukuhkan daya saing  ketika berhadapan dengan Malaysia  Airlines dan syarikat syarikat penerbangan yang lain.
Demikian juga Tony menempuhi beberapa cabaran dalam usaha mendapat hak mendarat di lapangan terbangan Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi  sama ada di Asia ataupun  atau benua benua lain. Namun nampaknya pengalaman di Singapuralah yang paling mencabar.
Mengikut buku The Air Asia Story ditulis oleh Sen Ze dan Jayne Ng, bagi Tony, kualiti seorang Usahawan yang paling penting ialah kecekalan atau dalam Bahasa Inggerisnya willing to never take no for an answer. Bagi Tony, “Berpeganglah dengan keyakinan anda. Jika anda terlalu mendengar kata orang lain, anda tidak mungkin dapat memulakan sesuatu. Sebab itulah  mereka  tidak menjadi usahawan. Orang yang memberi nasihat itu bukanlah usahawan. Jika tidak, sudah tentu mereka melaksanakan sendiri. Kita hanya perlu yakin dan laksanakannya”
Akhir sekali, anda  jangan lupa peranan pendidikan dalam membantu Tony dalam menjayakan kerjayanya. Beliau adalah seorang Fellow Member of Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan berkelulusan dari London School of Economics

Tokoh Usahawan Berjaya: Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

FAIZA BAWUMI SAYED AHMAD
Nama :Faiza Bawumi Sayed Ahmad.
Umur : 69 Tahun
Asal : Mesir
Jawatan : Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd
Pendidikan : Diploma Jahitan
Beliau tidak menyangka pengalamannya sebagai juruwang di kedai bapanya dahulu telah mendorongnya bergiat serius sebagai peniaga.Menurut Faiza, kejayaannya sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Menurut Faiza beliau datang ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.Disebabkan sikapnya yang tidak betah duduk diam, dia mengambil upah menjahit sulaman dan menjual pelbagai barangan dapur.Faiza kemudian membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya dan mengedarkannya di kedai-kedai.

Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.

Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini temasuk yang paling dikenali, "Herba Ponni Taj Mahal" dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan terbaru, rempah rendang.


Sumbangan

Kesenangan yang ada perlu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan,terutama golongan miskin dan ibu tunggal, kata Faiza Bawumi Sayed Ahmad, tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini.


Faiza, yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang sinonim dengan program realiti televisyen swasta tempatan yang berbentuk amal "Bersamamu" kerana syarikat itu merupakan penaja utama rancangan tersebut, berkata hasratnya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Faiza bagi membantu golongan tersebut.

"Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu tunggal membuatkan saya berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Faiza satu hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan sumbangan kepada orang ramai.

"Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri, tetapi untuk membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Faiza juga turut menyarankan umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain, dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

"Kita kena bersatu supaya tiada sesiapa dapat pecah-belahkan kita. Bila kita lemah, kita kena tindas. Ibarat lidi, bila ia satu, maka ia mudah dipatahkan tetapi apabila ia banyak, maka tidak dapat dipatahkan dengan mudah," kata anak kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia mengikuti suaminya Allahyarham Abu Bakar Ahmad yang merupakan rakyat Malaysia pada tahun 1964.

Faiza, 68, berkata selaras dengan tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu "Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah", semua masyarakat Islam juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang kepada ajaran Al-Qur'an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan orang lain, dan bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi apabila melihat kejayaan orang lain.

Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.

"Pernah seorang peniaga bukan Melayu meminta saya berfikir antara dua jenis ketam iaitu ketam Melayu dan ketam bukan Melayu. Mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan dua jenis itu sehinggalah peniaga itu kemudian menjelaskan bahawa ketam Melayu akan menarik kawannya jatuh ke bawah ketika berjalan mendaki bukit, manakala ketam bukan Melayu pula akan menolong kawan-kawannya," katanya.

Faiza yang memiliki diploma dalam bidang jahitan sebelum berjaya mendirikan perusahaannya sekarang mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjahit pakaian, dan kemudian mengusahakan perusahaan rempah giling yang dijual kepada jiran serta kedai, sebelum membuka kedai runcit pada tahun 70-an.

Beliau memasuki bidang pembekal dan pemborong pada tahun 1982 sebelum menubuhkan Syarikat Faiza Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti memproses dan mengedarkan beras berpangkalan di Batu Pahat pada tahun 1992.

Ibu kepada tujuh orang anak dan mempunyai 32 orang cucu itu juga berharap masyarakat Islam sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini temasuk yang paling dikenali, "Herba Ponni Taj Mahal" dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan terbaru, rempah rendang.



Anugerah


Syarikat Faiza juga telah menerima pelbagai anugerah termasuk pemborong terbaik pada tahun 2000, anugerah kecemerlangan operasi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada 2001 dan dan anugerah emas bagi beras Taj Mahal oleh Reader's Digest Super Brand.


Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, Faiza tetap meluangkan masa untuk melakukan kerja amal termasuk memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Pemborong Beras Bumiputera Malaysia, Pengerusi Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Batu Pahat, Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Batu Pahat (Pengerusi Biro Kebajikan) dan ahli lembaga pelawat Hospital Batu Pahat serta pemegang amanah anak yatim Batu Pahat.


Beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Wanita Anggun 2005, Tokoh Ibu Mithali Perkim 2007, Wanita Nadi Negara peringkat Johor 2007 dan anugerah khas Tokoh Guru 2009.

http://farizadheartit.blogspot.com/p/usahawan-berjaya-faiza-sdnbhd.html

Tokoh Usahawan Berjaya: Tan Sri Syed Mokhtar

TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY TAN SRI SYED


Latar belakang kehidupan

Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951। Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga। Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.

Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya। Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.

Pendidikan 

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru। Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal's.

Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi। Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Membantu keluarga

Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga। Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama.

Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira। Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Mula berniaga

Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut। Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.

Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual। Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan। Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya। Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.

Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras। Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Menubuhkan syarikat

Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar।

Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas। Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan। Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus। Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Perniagaan terus berkembang

Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula। Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.

Setahun selepas Bukhary Sdn। Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan। Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.

Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn। Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.

Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn। Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China। Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Perniagaan pakaian

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan। Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian। Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.

Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile। Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan perkapalan

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan। Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak। Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta - USD600,000).

Pada masa yang sama, beliau mula mem*sensored*tkan diri dalam sektor pembangunan hartanah। Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Penglibatan dalam projek penswastaan

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn। Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas।

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn। Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Kepentingan 

Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB)। Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.

Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan। Manakala 18।7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.

 

Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary

Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban। Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan। Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary

Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004। Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta। Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.Sumbangan dalam bidang pendidikan

Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7।75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan।

Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah। Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1।67 bilion.

Info ini diambil dari http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=546