Tuesday 23 September 2014

USAHAWAN SOSIAL

Keusahawanan sosial basmi kemiskinan
oleh SAIFUDDIN ABDULLAH

Pada 9 Ogos ini, penjawat awam menerima pembayaran bonus setengah bulan, manakala pesara kerajaan menerima bayaran khas RM500. Dalam ekonomi dunia yang lembap, keupayaan kerajaan menyediakan bonus dipuji.

Hakikat dunia menghadapi krisis ekonomi dilambangkan oleh Occupy Wall Street, masalah Greece dan Sepanyol serta Arab Spring. Orang bersuara, “ada sesuatu yang salah!”.

Dua masalah utamanya, ialah pertama, kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Ia bermula pada 2007 dan masih berlarutan. Seramai 24 juta orang menganggur. Amat sedikit pekerjaan baru disediakan. Walaupun berlaku di AS, tetapi, dek kerana ia ekonomi nombor satu dunia, maka, apabila ia bersin, negara lain pun selesema.

Kedua, ialah ketidaksaksamaan ekonomi. Dari segi penguasaan kekayaan dunia, 1 peratus daripada penduduknya menentukan nasib 99 peratus yang lain. Justeru, muncul slogan “kami 99 peratus” yang memprotes.

Kedua-dua masalah ini cuba diselesaikan kalangan pemimpin dunia di Persidangan Rio+20, Jun lalu. Tetapi, oleh kerana persidangan itu diragui kesungguhannya, maka, resolusinya hambar. Lantas, masyarakat sivil mengeluarkan resolusi alternatif yang lebih bermakna.

Masyarakat sivil berpendapat model ekonomi yang dominan yang digunakan kini gagal membebaskan banyak orang daripada kemiskinan, mencapai kesaksamaan ekonomi atau memelihara alam sekitar. Mereka mencadangkan order ekonomi baru, iaitu ekonomi mampan berasaskan komuniti di mana wujud integriti ekologikal, tanggungjawab sosial dan agihan saksama ekonomi.

Ia mengukuhkan seruan terdahulu oleh beberapa sarjana untuk mewujudkan sistem ekonomi alternatif bagi menggantikan sistem kini yang ternyata gagal. Antara yang ditonjolkan ialah, “ekonomi sosial”, “ekonomi solidariti” dan “ekonomi”. Sebenarnya, dunia memerlukan sistem ekonomi yang lebih sihat.

Pada saya, ia bermaksud: menyediakan peluang untuk semua menikmati kehidupan yang sihat, bermaruah dan bermakna; penggunaan barangan dan perkhidmatan yang berimbang dengan sistem alam; menyuburkan hubungan manusia yang berasaskan komuniti yang kukuh dan penyayang; menegakkan prinsip pasaran yang berasaskan peraturan yang baik, beretika dan manusiawi; pengagihan sumber secara berkesan dari segi kesaksamaan dan sosial; dan memenuhi ideal demokrasi, iaitu satu orang satu undi yang selari dengan kedaulatannya sebagai rakyat.

Ini menuntut transformasi tulen, bukannya sekadar penambahbaikan rutin. Di Malaysia, pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah progresif. Untuk benar-benar merealisasikan MBE, antara lain, kita perlukan pendekatan “keusahawanan sosial”, iaitu menyelesaikan masalah sosial dan alam sekitar melalui model keusahawanan.

Dalam membasmi kemiskinan, ia digunakan sebagai langkah afirmatif baru. Premisnya tidak lagi orang miskin tidak berwang. Premis barunya ialah orang miskin berwang, tetapi tidak mampu membeli barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam sampul harga kini. Sekiranya ada usahawan sosial menawarkannya dengan sampul harga lain, maka, mereka mampu membelinya.

Sektor perniagaan perlu digalakkan menukar daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada keusahawanan sosial. Contohnya, pasar raya besar yang melakukan CSR, sebenarnya, telah terlebih dahulu membenam peniaga kecil berhampirannya. Tetapi, dengan keusahawanan sosial, peniaga kecil itu dibawa membangun bersama pasar raya besar itu.

Amanah Ikhtiar Malaysia dan koperasi antara contoh keusahawanan sosial. Masyarakat sivil mempunyai banyak pengalaman dalam hal ini. Ia perlu ditingkatkan.

Saya dan sekumpulan aktivis menubuhkan Jaringan Ekonomi Masyarakat Malaysia untuk meluaskan kesedaran mengenai keusahawanan sosial; mencadangkan dasar baru kerajaan; menggalakkan partisipasi perniagaan; meningkatkan keberkesanan masyarakat sivil dan menggiatkan universiti mengajar, menyelidik dan menjalankan projek. Bersamalah mengembangkan pendekatan baru ini.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/keusahawanan-sosial-basmi-kemiskinan-1.73958

No comments:

Post a Comment