Melahirkan usahawan muda tani
Oleh: WARTAWAN SINAR HARIAN
Penglibatan golongan belia, khususnya graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam program keusahawanan yang dianjurkan kerajaan menunjukkan perkembangan positif ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berwibawa dan berdaya saing pada masa depan.
Begitu pun, dalam usaha melahirkan usahawan muda berdaya maju, golongan tersebut perlu banyak belajar supaya mereka dapat menimba pengetahuan dan kebolehan sebagai persiapan diri menghadapi cabaran.
Itulah matlamat utama Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila menganjurkan Program Inkubasi Usahawan Tani, iaitu program berbentuk latihan dan keusahawanan yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani.
Program itu dizahirkan menerusi peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM3.8 juta dengan melancarkan program siri pertama pada Februari tahun lalu dan berjaya mencapai matlamat selepas 35 peserta tiga modul menamatkan program mereka.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, program itu memasuki siri kedua dengan penglibatan 48 orang yang juga Ahli Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis).
Beliau berkata, objektif program adalah untuk melahirkan siswa tani yang cemerlang dan berwibawa, selain bersedia melaksanakan projek pertanian selepas tamat berkursus.
“Ia juga menjadi penghubung bagi penempatan graduan UPM berkaitan pertanian untuk mengikuti latihan usahawan di institusi dalam dan luar negara,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Ikan Tilapia, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013, di Puchong, baru-baru ini.
Tambahnya, program itu adalah selaras dengan matlamat keempat Pelan Strategik UPM 2011 hingga 2013 yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.
“Matlamat itu adalah untuk memperkasakan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan pertanian serta bio-sumber tropika. UPM akan menjadi pusat rujukan sehenti berkaitan pembangunan usahawan tani,” katanya.
Program Inkubasi Usahawan Tani 2013
Menurutnya, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013 melibatkan 48 peserta daripada pelbagai fakulti dan telah dijalankan sejak 2 Januari lalu dan berlangsung sehingga enam bulan lamanya iaitu sehingga 28 Jun depan.
Katanya, seiring dengan penyertaan dari pelbagai fakulti lain maka kini terdapat enam modul kursus yang ditawarkan kepada peserta program berbanding tiga, pada tahun lalu.
“Enam modul kursus tersebut ialah tanaman rock melon, akuakultur, ternakan ayam kampung, perkhidmatan makanan, modul perdagangan dan ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata, KPT telah memperakukan dan meluluskan peruntukan bagi tahun ini sebanyak RM2.6 juta. Jelasnya, sepanjang enam bulan mengikuti modul disediakan, dua bulan daripadanya dikhususkan untuk peserta mempelajari teori berkaitan ilmu keusahawanan, pelan perniagaan dan cara membuat persembahan di depan panel.
“Mereka juga diajar mengenai kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam menjalinkan kerjasama pada masa depan,” katanya.
“Objektif utamanya ialah untuk meningkatkan pengetahuan keusahawanan dari semua aspek, melatih peserta supaya lebih berdikari dan meningkatkan tahap keyakinan diri bagi mengharungi dunia perniagaan sebenar selepas tamat latihan,” katanya.
Baki empat bulan kursus pula banyak ditumpukan kepada latihan amali.
“Setiap peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan diberikan wang pinjaman sebanyak RM10,000 sebagai pendahuluan bagi memulakan projek mereka.
“Peserta akan dilatih bagi menguruskan projek dengan kaedah pengurusan yang terkini di samping pemantauan projek bermula daripada pengeluaran sehingga memasarkan produk.
“Sasaran utama ialah meningkatkan pengetahuan pengurusan dan teknikal projek dengan berkesan bagi memastikan peserta dapat memaksimumkan penggunaan sumber dan memastikan pulangan projek ke tahap maksimum,” jelasnya.
Katanya, sepanjang tempoh berkursus setiap peserta menerima elaun khas, RM1,000 sebulan, selain makan dan minum serta tempat penginapan.
Menurutnya, program ini menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan perjanjian turut dimeterai antara UPM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), baru-baru ini.
“Peserta juga menerima pinjaman yang disediakan oleh Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
“Kerjasama yang terjalin di antara agensi kerajaan dan swasta bagi memudahkan peserta mendapatkan modal pinjaman awal serta lokasi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, ada baiknya peserta kursus meneruskan proses pembelajaran dengan syarikat swasta terutama dalam mendapatkan bantuan teknikal dan pengalaman.
“Diharap program seperti ini dapat memupuk disiplin dan kerjasama dalam kalangan peserta supaya menjadi usahawan berjaya,” katanya.
Tuaian ikan tilapia merah
Sementara itu, bagi Program Inkubasi Usahawan Tani 2012, seramai 16 peserta menubuhkan lapan syarikat, sama ada secara perseorangan atau berkongsi dengan rakan untuk memulakan perniagaan masing-masing setelah tamat mengikuti program tersebut.
“Mereka mendapat pinjaman perniagaan daripada Agrobank dan Tekun bagi memulakan perniagaan masing masing,” katanya.
Lapan syarikat tersebut ialah Gemilang AgroBiz Enterprise, Fresh Farm Enterprise, Jasz Abdullah Enterprise, JL Agro Enterprise, World Garage Resources Enterprise, Jasz Enterprise dan Budget Hot Enterprise.
“Gemilang AgroBiz Enterprise memulakan projek menternak ikan tilapia merah pada Januari lalu setelah Agrobank meluluskan pinjaman RM20,000 dengan permulaan 10,000 ekor anak ikan berkenaan di 30 sangkar.
“Hari ini merupakan waktu tuaian bagi ikan-ikan tersebut selepas dibela selama dua bulan dan berat bagi setiap ikan tersebut mampu mencecah sehingga 400 gram dengan harga pasaran RM14 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, setiap peserta teruja dan mereka merupakan generasi baru yang secara langsung melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan juga usahawan tani.
No comments:
Post a Comment