Saturday, 20 September 2014

ARTIKEL: Usahawan Sebagai Kerjaya

Keusahawanan Sebagai Pilihan Kerjaya


Ditulis oleh Nor Hartini binti Saari.

Bidang keusahawanan sudah lama wujud sebagai satu pilihan kerjaya. Sejak zaman Rasulullah SAW keusahawanan ini telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Islam. Malah kerjaya sebagai usahawan merupakan pilihan utama umat Islam khususnya pada awal kedatangan Islam. Tidak terkecuali Rasulullah SAW sendiri memilih untuk bergelar sebagai usahawan pada ketika itu. Keadaan ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa keusahawanan telah pun menjadi satu bidang kerjaya yang diceburi sejak dahulu lagi. 
Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat kita kini lupa akan hakikat ini. Ini kerana mereka sentiasa menganggap bahawa kerjaya hanya melibatkan pekerjaan makan gaji dan ada majikan sahaja.Hakikatnya, keusahawanan tidak melibatkan majikan yang memberi gaji, tetapi sebagai usahawan mereka bertindak bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada dirinya dan turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Namun begitu, lebih kurang lima puluh tahun lalu, corak pembentukan sejarah negara kita telah menyebabkan berlakunya pengasingan dalam pemilihan kerjaya mengikut golongan etnik. Pada ketika itu, keusahawanan bukan merupakan satu pilihan kerjaya bagi kaum Bumiputera yang merupakan majoriti golongan masyarakat negara ini.
 Jika ada pun kaum Bumiputera yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya, hanya dalam bentuk kecil-kecilan atau pun kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan untuk mendapat kerja lain. Pada ketika itu, mereka yang menjadi ‘usahawan terpaksa' ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran terutamanya untuk mengharungi cabaran dan dugaan dunia perniagaan. 
Begitu juga terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mempunyai kepercayaan seratus peratus apabila mendengar bahawa anak-anak mereka ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Ini disebabakan oleh peluang-peluang perniagaan yang tidak begitu menyerlah dan banyak pekerjaan lain yang lebih mudah didapati.
 Kebanyakan mereka berpendapat bahawa keusahawanan adalah sesuatu yang sukar, berisiko dan merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding jika bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan sektor kerajaan. Jaminan dari segi faktor kewangan dengan pelan pencen yang baik mahupun pelan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara menambah lagi keyakinan untuk mereka bekerja di dalam sektor awam itu.
Namun begitu, apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, secara tidak langsung ia telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Berikutan itu, berbagai-bagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan Bumiputera.
Penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Tambahan pula, Wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 yang menjurus kepada dasar-dasar kerajaan turut sama menggerakkan negara ke arah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar ini secara langsung telah meningkatkan lagi peluang-peluang keusahawanan dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera.
Perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Begitu juga dengan institusi pengajian tinggi sudah pun mewujudkan Fakulti Keusahawanan, pusat keusahawanan dan subjek keusahawanan sebagai mata pelajaran teras. Ini adalah satu pendekatan baik yang dapat membuka minda mahasiswa dan mahasiswi tentang peluang besar yang menanti mereka yang berminat menjadi usahawan atas pilihan sendiri.
Memandangkan ramai yang menjadi usahawan atas pilihan sendiri, kita menjangkakan bahawa mereka tentunya telah bersedia untuk berjaya sebagai usahawan. Hari ini cuba kita perhatikan, sudah banyak papan iklan dan iklan-iklan di stesen radio dan televisyen yang mula memperkenalkan produk Bumiputera ini.
Perkembangan sebegini menyebabkan lebih ramai orang, terutamanya kaum Bumiputera yang mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Ia juga boleh mengikis pandangan negatif banyak pihak mengenai kerjaya usahawan.Justeru, bagi mereka yang memilih usahawan sebagai kerjaya pilihan, mereka perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih. Maklumat asas mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan perlu dikaji. Di samping melihat kepada pasaran yang disasarkan, persaingan serta maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran. Perkara asas ini dapat membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan.
Pun begitu, pemilihan bidang perniagaan ini juga tidak boleh dilakukan secara semberono atau ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama.
Oleh itu, jika keusahawanan menjadi pilihan kerjaya hari ini, maka berusahalah menjadikan kerjaya tersebut menyeronokkan dan memberi kesan positif kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8497-keusahawanan-sebagai-pilihan-kerjaya

No comments:

Post a Comment